PERANG TOK JANGGUT
Pada hari ini dalam tahun 1915 bermulalah detik awal
penentangan yang lebih dikenali sebagai Perang Tok Janggut untuk menentang
sistem pentadbiran British di Kelantan. la mula tercetus apabila berlaku
perbalahan di antara Tok Janggut dengan Sarjan Che' Wan, seorang anggota Polis
British yang berakhir dengan kematian Sarjan itu.Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Mat Hasan telah
mengepalai satu penentangan orang-orang tempatan di daerah Pasir Putih
menentang pihak pentadbiran British yang telah menimbulkan rasa tidak puashati
masyarakat tempatan pada masa itu. Campurtangan British di Negeri Kelantan pada
awal abad keduapuluh telah menyebabkan berlaku beberapa perubahan dasar sistem
pentadbiran di negeri tersebut. Pihak British telah memperkenalkan
sistem-sistem cukai yang baru yang bercanggah dengan kebiasaan rakyat tempatan
dan telah melantik pegawai-pegawai untuk menggantikan tempat pembesar-pembesar
daerah tradisional. Kewujudan alat-alat pentadbiran dan campurtangan pihak British
dalam pentadbiran Negeri Kelantan ini telah menggugat kedudukan
pembesar-pembesar daerah serta menimbulkan kemarahan mereka yang selama ini
memiliki banyak keistimewaan.Di antara faktor-faktor lain yang membawa timbulnya
penentangan ini ialah ketidakcekapan dan sikap tidak bertimbangrasa pihak
pentadbiran Tanah Jajahan dan juga pegawai-pegawai tempatannya terutamanya En.
Lattif iaitu Ketua Jajahan yang mentadbirkan daerah Pasir Putih. Beliau yang
didatangkan oleh pihak British dari Singapura terlalu mengikut peraturan tugas
dan kurang mengetahui sikap dan cara berfikir orang-orang tempatan; seorang
yang bersikap British dan tidak mahu bercampur gaul dengan orang-orang
tempatan.Kemunculan Tok Janggut dan beberapa pembesar Melayu seperti
Engku Besar (Raja atau pemerintah Jeram), Encik Ishak dan Hajl Said yang
telah mengepalai gerakan ini telah membangkitkan semangat rakyat untuk turut
sama menentang pentadbiran baru kerajaan itu. Setengah daripada pejuang-pejuang
Melayu ini menganggap penentangan ini adalah sebagai perang menentang pihak
kafir (perang sabil).Dengan semangat ini orang-orang Melayu telah menentang pihak
British yang dibantu oleh Pasukan Polis yang kebanyakannya datang dari
Singapura. Walaupun pejuang-pejuang Melayu tidak mempunyai peralatan perang
yang moden dan lengkap, tetapi mereka telah menentang dengan beraninya sehingga
ketitisan darah terakhir.Penentangan ini berlarutan sehingga akhir bulan Jun 1915
apabila pihak British dikatakan berjaya membunuh Tok Janggut dan beberapa orang
pengikutnya.Engku Besar, Haji Said, Encik Ishak dan beberapa orang lagi telah
lari ke Reman, Negeri Siam.
(IHSAN ARKIB NEGARA MALAYSIA)
(IHSAN ARKIB NEGARA MALAYSIA)
No comments:
Post a Comment